MEMANG CANTIK, SEJUK MATA MEMANDANG! SIAPA SANGKA ANAK ABBY DAN NORMAN NI LAHIR DALAM KERETA

Posted on

Norman atau nama betulnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 29, membidankan sendiri isterinya sehingga bayi itu selamat dilahirkan sebelum mereka meneruskan semula perjalanan ke klinik terbabit.

Pelakon popular Abby Abadi bersalin di dalam kereta, sementara suaminya, pelakon terkenal Norman Hakim menjadi `doktor’ menyambut bayi itu.

Ia mungkin seperti babak dalam drama yang dilakoni mereka. Namun situasi itu bukan dalam drama, tetapi benar-benar berlaku kepada pasangan suami isteri itu pagi ini.

Kelahiran bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu disambut oleh Norman di dalam keretanya di tepi jalan, 500 meter dari rumah mereka di Ukays Perdana di sini.

Bayi yang dinamakan Marissa Dania Hakim itu adalah anak kedua pasangan terbabit.

Norman yang ditemui di Klinik Bersalin Kohilal memberitahu, beliau menyangka Abby hanya mengalami sakit perut seperti kebiasaan wanita sarat mengandung memandangkan isterinya itu dijangka bersalin pada 17 Julai ini.

“Saya tidak menyangka apabila keluar dari rumah dalam jarak 500 meter tiba-tiba Abby menjerit, “kepala bayi dah keluar.”

“Dengan tidak berlengah saya berhenti ke tepi jalan dan terus menurunkan tempat duduk Abby lalu menyambut bayi dengan keadaan yang tenang.

“Apabila mendengar bayi itu menangis, perasaan saya sungguh lega dan membalikkan bayi tersebut sebelum saya azan dan iqamah,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu beliau menghubungi doktor untuk mengetahui cara memotong tali pusat.

Bagaimanapun doktor berkenaan menyarankan beliau supaya membawa terus bayi baru mereka ke klinik.

Sewaktu dalam perjalanan kedua-dua pasangan itu begitu gembira dan masih boleh ketawa dengan kejadian yang tidak mungkin dilupakan itu malah berhenti dua kali di tepi jalan untuk mengambil gambar kenangan menggunakan kamera telefon bimbit.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi apabila Abby atau nama penuhnya, Arbaieyah Abdul Manan, 27, yang sarat mengandung tidak sempat tiba di Klinik Bersalin Kohilal di Taman Melawati di sini untuk bersalin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *